Thursday, February 16, 2006

bicara ilmu..

In NaqibNet-Diskusi@yahoogroups.com, DZ CONSULTANCY
wrote:

Hari ini, Selasa 14 Februari 2006, aku ke USM dan singgah di Perpustakaan Bahagian Penerbitan. Aku sempat bertemu dengan pegawai kanan di sana iaitu encik Nur. Aku ditunjukkan Galeri Buku USM yang baru berumur 2 minggu yang bakal dijadikan tempat pameran pelbagai buku mengikut fokus. Sebagai contoh, di musim Ramadan, galeri ini akan dipenuhi buku-buku dari pelbagai penerbit yang memfokuskan tentang ramadan dan aspek yang berkaitan dengannya, dan begitulah seterusnya.

Kemudian encik Nur berkata kepadaku, "Doktor, saya ingin berkongsi satu maklumat. Baru-baru ini USM terbitkan satu buku yang berkaitan dengan sejarah perjuangan Islam di Malaysia. Baru saja buku ini diterbitkan, sebelum sesiapa pun diberitahu tentangnya, tanpa publisiti, tiba-tiba pihak kedutaan Amerika menelefon untuk membeli buku itu. Saya bertanya kpd mereka untuk apa mereka membeli buku ini. Mereka menjelaskan, ia adalah untuk universiti-universiti utama di Amerika. Jelas sekali mereka ingin terkini tentang maklumat dan ilmu terutamanya yang berkaitan dengan Islam." Adakah umat islam juga seperti ini, ingin terkini dengan ilmu dan maklumat agar usaha dan perjuangan kita lebih kemas....? Yang aku tahu ialah, ketika konsep
'Clash of Civilisations' yang diketengahkan oleh Samuel Huntington telah menguasai ramai tokoh dan politikus barat, ramai pendakwah serta pejuang Islam tidak tahu menahu tentang pandangan ini serta bahayanya hinggalah ke hari ini!
Aku menyedari organisasi Islam mempunyai banyak fokus. Ahli-ahlinya pula memiliki kemampuan yang berbeza-beza. Namun aku meyakini perlu ada sekumpulan intelek dalam organisasi yang diamanahkan secara terancang untuk membaca dan mengkaji idea-idea / pandangan-pandangan terkini, termasuk dari pihak musuh, agar perancangan organisasi Islam akan lebih mantap. Aku yakin ramai yang mengetahui sejarah nabi berhubung dengan hijrah. Ketika nabi dan sahabat Abu Bakar bersembunyi di Gua Thur beberapa aktiviti penting sedang berlaku di luar Gua ketika itu. Antaranya, anak Abu Bakar yang bernama Abdullah diarahkan agar merisik berita terkini berhubung strategi musuh di kota Mekah untuk diberitahu kepada nabi dan Abu Bakar. Ya, nabi pentingkan maklumat TERKINI tentang musuh. Justeru umat Islam hari ini perlu terkini juga dengan ilmu dan maklumat mereka....

Secara umumnya, membaca adalah penting untuk umat apatah lagi pendakwah Islam. Namun di Malaysia, ramai yang malas membaca. Pakar-pakar buku UNESCO yg bersidang di Tokyo pada tahun 1966 menetapkan matlamat bahawa setiap individu perlu membaca sebanyak 80
halaman setiap tahun. Di Malaysia, dalam kaji selidik tahun 80-an, rakyat Malaysia membaca hanya satu halaman setahun. Fakta ini aku ketahui dari pembacaan Utusan Pengguna Februari, 2003.

Sebenarnya, melalui pembacaan kita mampu mempengaruhi manusia. Aku masih ingat pengalamanku berceramah di sebuah Maktab Perguruan di Sungai Petani. Persatuan Sains Guru-guru pelatih di situ menjemputku berceramah tajuk "Sains Dan Kesejahteraan Sejagat." Aku dimaklumkan bahawa majoriti yg akan hadir ialah dari kalangan yg bukan Muslim. Dalam ceramah itu yg dibantu oleh 'powerpoint presentation,' aku bercakap tentang sains sebagai alat dan manusia yang menentukan bagaimana memacu alat yg bernama sains ini... Kemudiannya aku berkata, "Sebenarnya, perubahan barat menuju era sains dan teknologi tidak akan berlaku tanpa Islam dan umatnya." Tiba-tiba aku terkejut dengan reaksi hadirin. Dewan menjadi hingar seketika. Ramai yang menjuehkan mulut kepadaku. Dari reaksi itu aku memahami yg mereka tidak bersetuju dengan kenyataan itu.

Aku terus tinggalkan LCD dan powerpoint. Ya, aku perlu perbetulkan persepsi mereka terhadap Islam. Terus aku berkata, "Brothers and sisters, if you think that I am saying this out of stupid fanaticism towards Islam, then you are totally wrong. I am saying this after reading books written by non Muslims. Yes, books written by Robert
Briffault titled 'The Making of Humanity', Philip K Hitti titled 'History of the Arabs', Victor Robinson titled 'The Story of Medicine', AM Lothrop Stoddard titled 'The New World of Islam', and many more." Kemudian aku sebutkan satu persatu apa yg penulis-penulis barat ini katakan, bahawa tanpa Islam barat tidak akan keluar dari era kegelapan kpd era kebangkitan yg dikenali sebagai Renaissance. Tiba-tiba dewan menjadi hening. Akhirnya aku mendapat tepukan gemuruh dari mereka. Seorang pensyarah bukan Islam kemudiannya datang menemuiku mengatakan dia akan perbetulkan persepsi salah pelajar-pelajar bukan Islam terhadap Islam berasaskan maklumat yg betul seperti yg aku sampaikan. Alhamdulillah.

Ya, berdakwah itu penting. Yang lebih penting ialah pembinaan kekuatan, terutamanya ilmu dan iman, agar dakwah menjadi berkualiti dan efketif, secara berterusan.

al-Faqir,
DD

No comments: